Dalam surah al-Anbiyak ayat 30 Allah berkata,
"Apakah orang-orang kafir itu tidak mengetahui langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu kemudian kami pisahkan antara keduanya. Daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup".
Ayat ini menjelaskan mengenai dua perkara penting. Pertama mengenai asal-usul kejadian langit dan bumi yang pada asalnya bercantum padu, kemudian dipisahkan antara kedua-duanya. Hal ini adalah selari dengan kejadian BIg Bang yang berlaku lebih kurang 14 bilion tahun dahulu. Kedua, ayat ini menjelaskan mengenai hakikat kehidupan air adalah asas bagi segala kehidupan. Tanpanya hidupan tidak wujud sama sekali.
Molekul Air |
Air Asas kepada Segala Hidupan?
Air tidak hanya penting dalam proses kejadian langit dan bumi, ia juga penting bagi hidupan-hidupan di dunia. Hal ini ditegaskan Allah di beberapa tempat dalam Al-Quran, sebagai contoh, dalam surah al-Anbiyak ayat 30 Allah berkata, "Dan daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup."
Ia juga terdapat dalam surah an-Nur ayat 45 yang bermaksud, "Allah mencipta kesemua jenis haiwan daripada air."
Mengikut BBC News dalam segmen Science and Nature (Space) bertarikh 27 Mei 2006, pakar-pakar biologi bersepakat air adalah asas kepada kehidupan. Tanpanya, kehidupan tidak boleh wujud dan sekiranya ia wujud, ia tidak boleh berterusan tanpa air.
Kenyataan bahawa hidupan bermula daripada air mendapat kekuatan tambahan dengan penemuan terbaru yang mendapati hidupan mungkin bermula di bawah lautan. Mengikut BBC News Online bertarikh 9 September 1998, di segmen Sci/Tech bawah tajuk Springing To Life Under The Sea, saintis-saintis mengatakan rahsia mengenai kewujudan hidupan yang awal di dunia mungkin wujud 9 000 kaki di bawah lautan Atlantik. Di situ para saintis menemui semburan hidrogen dan selepas mereka mengkaji persekitarannya, mereka merasakan ia sesuai bagi melahirkan kehidupan di peringkat awal.
Setiap hidupan terbina daripada sel dan kehidupan sel bergantung kepada protoplasma dan protoplasma memerlukan air untuk hidup kerana 80 peratus daripadanya adalah air, justeru tidak boleh wujud sebarang hidupan tanpa air.
Kesemua penemuan ini menunjukkan kenyataan al-Quran bahawa segala kehidupan bermula daripada air adalah benar dan dapat disahkan melalui kajian sains.
SumbeR : Quran Saintifik, Dr. Danial Zainal Abidin